Monday, January 16, 2012

IKHLAS ITU INDAH



Ikhlas juga beerti setiap apa yang kita lakukan itu tidak mengharapkan apa-apa faedah, gelaran, pujian, kemuliaan dan pangkat dari sesiapa melainkan Allah s.w.t semata-mata. Islam mewajibkan setiap umatNya melakukan setiap amalan dengan ikhlas kerana ia merupakan inti pati dan penentu penerimaan amalan. 


Firman Allah s.w.t :

"Padahal mereka tidak diperintahkan, melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar" (al-Bayyinah:5)

Setiap amalan yang ikhlas kerana Allah s.w.t akan diangkat dan diterima olehNya. Amalan yang dilakukan dengan tidak ikhlas pula bukan sahaja tidak diterima malah menjurus kepada kemurkaan Allah s.w.t. Niat dan keikhlasan adalah saling berkait rapat. Keikhlasan akan terbit dari apa yang diniatkan. Hal ini telah disebut dalam hadith daripada Umar r.a, 

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat dan setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu"(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jundab bin Abdullah r.a, 


Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya diketahui oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain mengetahuinya (dan hanya itulah balasannya). Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya dilihat oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain melihatnya (dan hanya itulah balasannya)."(riwayat Bukhari dan Muslim)




Pujian dan celaan sering kali menjadi ujian dan cabaran yang besar buat insan yang beramal dengan ikhlas. Keikhlasan tidak menyebabkan diri terpengaruh atau terjejas ketika dipuji atau dikritik. Jika melakukan amalan hanya untuk mengharapkan pujian, maka keikhlasannya adalah diragui. Adapun begitu, jika dengan pujian membuatkan keikhlasannya tidak berubah, maka itu adalah suatu kebaikan buat seseorang muslim. Abu Zar r.a berkata. Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w :

"Bagaimanakah tentang seseorang yang berbuat kebajikan, lalu ada orang memujinya, sedangkan niatnya ikhlas kerana Allah?. Baginda menjawab: itu adalah kegembiraan awal yang diberikan kepada seorang Mukmin"(riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment